KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad berkata, beliau tidak menemui sebarang bukti kecurian dalam Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang mengetuai Jabatan Audit Negara (JAN) dari 2017 hingga 2019.
Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 yang disediakan bersama pasukannya ketika itu adalah berdasarkan piawaian serta bukti audit yang diperoleh.
Menurut AWANI, sekiranya terdapat sebarang penemuan berkaitan kecurian, beliau sendiri akan menjadi individu pertama yang melaporkannya kepada pihak berkuasa.
“Semasa saya Ketua Audit Negara, saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian (kecurian). Kalau saya dan pasukan saya menemui bukti-bukti tersebut, bukan sahaja saya tidak sembunyi, saya akan highlight (mengetengahkan) lagi, dan saya laporkan kepada pihak berwajib.
“Mandat saya sangat jelas. Kami membuat pengauditan berdasarkan piawaian, berdasarkan bukti-bukti pengauditan dan kami telah keluarkan penyata atau sijil.
“Adakah dalam itu disebut ada penyelewengan atau kecurian? Ada tak sebut? Tak ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada program Musyawarah Nasional ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’ di sini, hari ini.
Madinah turut menjelaskan bahawa beliau tidak memahami maksud istilah ‘sakau’ yang dikaitkan dengan isu berkenaan.
“Jadi Datuk (merujuk kepada peserta), minta maaf, saya tak boleh nak jawab dan saya tak faham apa erti ‘sakau’. Saya berpijak di bumi yang nyata,” katanya.








