KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semakin hampir mencapai persefahaman untuk bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Menurut Awani, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perbincangan awal antara kedua-dua pihak menerima maklum balas positif daripada BN.
Bagaimanapun, katanya, bentuk kerjasama termasuk pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan.
Beliau juga berkata perkara itu akan diperincikan dalam mesyuarat bersama yang akan diadakan antara pimpinan kedua-dua gabungan.
“Setakat ini respons yang diterima adalah positif. Bagaimanapun, soal bentuk kerjasama dan pembahagian kerusi akan diperincikan dalam perbincangan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah berkaitan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan di sini, malam tadi.








