ISKANDAR PUTERI: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengambil tindakan segera susulan aduan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar berhubung pemasangan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor secara terbalik di sebuah premis perindustrian di Taman Perindustrian SILC, di sini.
MBIP dalam kenyataan memaklumkan, tindakan pemeriksaan turut disertai ADUN Kota Iskandar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan pemilik premis diberikan amaran tegas serta diarahkan menurunkan dan membetulkan kedudukan bendera berkenaan serta-merta.
Pemeriksaan lanjut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen perniagaan MBIP yang sah. Susulan itu, satu Notis Henti Niaga dikeluarkan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, selain satu kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP.
Premis berkenaan turut diarahkan menghentikan operasi dan ditutup berikutan kegagalan mematuhi keperluan pelesenan pihak berkuasa tempatan itu.
Dalam pemeriksaan sama, seramai 14 pekerja ditemui berada di premis berkenaan, terdiri daripada dua warga tempatan dan 12 warga asing. Kesemua 12 warga asing itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi siasatan lanjut berkaitan status permit pekerjaan mereka.
MBIP menegaskan pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, termasuk berkaitan pelesenan premis serta tatacara pemasangan dan penghormatan terhadap bendera kebangsaan dan negeri.
Menurut MBIP, Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor merupakan lambang kedaulatan, identiti dan maruah yang wajib dihormati, selain menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah bidang kuasa majlis.
Pemantauan dan tindakan susulan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.








