KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung insiden tragis yang mengorbankan tiga sekeluarga.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian berkenaan.
“Salam takziah buat mereka yang terkorban dalam insiden tragis ini,” katanya.
Menurut Anwar, siasatan perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang dalam kejadian itu.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh. Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi,” katanya.
Menurut laporan,tiga sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, maut selepas sebuah lori Jabatan Imigresen dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kereta serta melanggar pejalan kaki di persimpangan Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.








