PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Sembilan menghantar notis tuntutan kepada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras DUN bagi memulangkan baki peruntukan yang diterima daripada pentadbiran terdahulu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim berkata, semua yang terlibat diberikan tempoh 30 hari untuk menjelaskan bayaran balik kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, notis berkenaan dihantar kepada kesemua 19 individu itu pada petang semalam, dengan jumlah tuntutan yang berbeza.
“Kita memberikan mereka tempoh selama 30 hari untuk membayar balik kepada kerajaan negeri.
“Sekiranya mereka gagal menjelaskan baki peruntukan tersebut dalam tempoh yang diberikan, tindakan susulan akan dikenakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Seremban, seperti dilaporkan Sinar Harian.








