KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan badan bebas yang bertanggungjawab mengendalikan, menyelia dan menjalankan pilihan raya tanpa campur tangan kerajaan atau mana-mana parti politik.
Bagaimanapun, beliau berkata, secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan SPR menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu, 11 Julai.
Menurut Anwar, SPR sepatutnya mengambil kira keperluan untuk memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada pengundi, khususnya mereka yang bekerja di Singapura, bagi membolehkan mereka pulang mengundi.
“Saya buat berdasarkan kenyataan Menteri Besar Johor. Saya berpendapat SPR sebagai badan bebas harus teliti supaya pilihan raya ikut garis demokrasi di mana ruang waktu diberi secukupnya dan hari mengundi orang boleh balik.
“Umpamanya pekerja di Singapura ramai. Hari Sabtu ramai bekerja separuh hari, sebaiknya hari Ahad, tetapi SPR sebagai badan bebas dia hendak buat Sabtu juga.
“Itu keputusan dia (SPR), pandangan peribadi, saya tidak bersetuju. Apa yang kita lakukan orang datang mengundi. Kalau teguran itu, bukan saya campur tangan, saya campur tangan lain keadaannya,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.








