KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menegaskan pelantikan beliau sebagai penasihat di Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut Azam, pelantikan itu bukan dibuat kerana jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, sebaliknya berdasarkan pengalaman selama 37 tahun dalam bidang penguatkuasaan.
“Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bukan sebab jawatan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, tetapi kerana 37 tahun pengalaman dalam penguatkuasaan,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 5 Akta NFCC.
“Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika mengulas persoalan yang dibangkitkan mengenai kedudukannya sebagai penasihat di NFCC.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pada sidang media di Parlimen mempersoalkan justifikasi pelantikan Azam ke jawatan itu, dengan mendakwa bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan pernah dikaitkan dengan beberapa isu termasuk skandal korporat mafia dan pemilikan saham.
Mengulas lanjut, Azam berkata mana-mana pihak yang mempertikaikan pelantikannya sepatutnya mendapatkan fakta daripada NFCC atau bertanya terus kepada beliau.
“Perlantikan saya ini adalah atas perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan atas nasihat Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Dr Ismail Sabri),” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan, dilaporkan menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan bahawa Azam telah dilantik sebagai penasihat di NFCC.








