PUTRAJAYA – Lebih 80,000 pengguna telah memanfaatkan Program BUDI Diesel sepanjang tempoh akses awal sejak 27 Jun lalu, sekali gus menunjukkan penerimaan positif terhadap pelaksanaan subsidi diesel bersasar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan program itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar setakat ini.
Beliau berkata, pemantauan operasi BUDI Diesel yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara hari ini bertujuan memastikan kelancaran pelaksanaan pada hari pertama penguatkuasaan sepenuhnya.
“Setakat di Semenanjung, kita telah memulakan akses awal sejak 27 Jun dan ia berjalan dengan lancar. Lebih 80,000 orang telah menggunakan BUDI Diesel sepanjang tempoh akses awal itu.
“Hari ini kita juga membawa satu perubahan yang baik apabila harga diesel di bawah program BUDI Diesel diturunkan kepada RM2.10 seliter,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pelaksanaan program itu di sebuah stesen minyak di sini, hari ini.- Malaysia Gazette








