Pengumuman yang dibuat calon-calon Pakatan Harapan (PH) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini bukan manifesto rasmi gabungan itu, sebaliknya hanya mencerminkan komitmen peribadi mereka untuk menangani isu di kawasan masing-masing.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata manifesto PH hanya merujuk kepada dasar serta komitmen yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, perancangan yang diumumkan oleh calon di kawasan masing-masing tidak boleh disifatkan sebagai manifesto kerana ia tidak melibatkan dasar pentadbiran kerajaan negeri.
“Apabila kita bercakap mengenai manifesto, kita bercakap mengenai dasar dan apa yang PH akan laksanakan apabila berjaya menjadi kerajaan negeri.
“Calon-calon yang mengumumkan perancangan di kawasan masing-masing hanya membawa tekad mereka untuk membantu penduduk setempat.
“Kalau calon kata dia mahu menyelesaikan masalah kutipan sampah contohnya, itu bukan manifesto. Itu adalah tekad mereka untuk membantu kawasan yang mereka wakili. Ia bukan dasar besar yang melibatkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan mekanisme bantuan Budi Madani Diesel di Stesen Petronas Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, pada Khamis.
Fuziah mengulas tindakan calon PH bagi DUN Perling, Alan Tee Boon Tsong, dan calon DUN Skudai, Kartiyaini Jeyapalan, yang mengumumkan manifesto masing-masing pada Rabu.
Beliau menegaskan, pengumuman berkenaan perlu dilihat sebagai iltizam calon untuk menyelesaikan isu setempat dan bukannya manifesto rasmi PH bagi PRN Johor.- Sinar Harian








