Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden membangkitkan kemungkinan kerjasama antara gabungan itu dan BN di Johor sekiranya BN gagal memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Afnan, yang juga Ketua Pemuda PAS, berkata Umno yang menerajui BN perlu melalui sedikit kesukaran bagi membolehkannya berubah menjadi lebih baik.
Kenyataan itu dibuat walaupun terdapat seruan sebelum ini supaya pengundi menyokong BN berbanding Pakatan Harapan (PH) di kerusi yang tidak ditandingi PN.
Menurut Afnan, kekurangan kemajuan dalam Umno menyebabkan parti itu menjadi lemah dalam peranannya sebagai pembela pengundi Melayu.
“Satu-satunya cara nak mengubah Umno – jangan bagi menang banyak kerusi – barulah dia akan rasa sedar diri, maka waktu itu baru dia akan mula berubah,” katanya ketika berceramah di Simpang Jeram, Muar, Johor malam tadi.
“Kalau PRN Johor ini Allah takdirkan mungkin Umno tak cukup kerusi, mungkin Umno kena pilih PN, pilih PAS untuk bersama membentuk kerajaan negeri.
“Baik Umno pilih kita daripada pilih PH, tapi kalau nak pilih PH, silakan,” katanya.








