JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Dalam kenyataan bertajuk “Saya Keluar UMNO”, Puad berkata keputusan itu dibuat tanpa berat hati dan bagi memudahkannya berbeza pandangan tanpa dituduh “menikam parti dari belakang”.
“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta-merta mulai hari ini 25 Jun 2026. Oleh itu UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya.
“Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang,” katanya.
Puad berkata beliau kini bebas mengkritik UMNO, parti yang menurutnya tetap disayangi dan dihormati sebagai wadah untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia.
“Buat apa saya keluar ketika UMNO dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi.
“Saya tinggalkan UMNO di saat KJ, Hishammuddin, Noh Omar kembali masuk UMNO bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan. Mereka atau saya?” katanya.








