MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hari ini memilih untuk tidak mengulas perkembangan terkini landskap politik terutama membabitkan isu “perceraian” antara PAS dan Bersatu serta kedudukan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut Malaysia Gazette, Ahli Parlimen Marang itu turut enggan mengulas isu perebutan penggunaan logo gabungan berkenaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Sebaliknya, beliau menegaskan perkara tersebut sudah memadai dijelaskan oleh Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang sebelum ini memberi kenyataan berhubung perkembangan dalaman gabungan itu.
“Tunggu minggu depan giliran saya beri kenyataan,” katanya seperti dipetik BH Online selepas menyampaikan Kuliah Duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Sebelum ini, Samsuri dilaporkan berkata PN sedang melakukan penstrukturan semula pentadbiran gabungan itu, termasuk menamatkan perkhidmatan Naib Presiden Bersatu, Mohd Radzi Md Jidin, serta Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, berkuat kuasa serta-merta.








