Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa Komuniti MADANI di seluruh negara memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, sahih dan benar mengenai pelbagai usaha serta inisiatif kerajaan.
Beliau berkata, tanggungjawab menyampaikan maklumat itu perlu digalas secara bersama dan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).
Menurut Bernama, terdapat beberapa kejayaan kerajaan yang perlu disebarluaskan kepada rakyat, termasuk usaha memastikan jaminan keterjaminan makanan.
Beliau berkata, antaranya ialah bekalan beras yang mencukupi ketika musim perayaan hasil inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Fahmi turut merujuk pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang membolehkan minyak masak paket diperoleh.
“Malah, menerusi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), barang ‘rare’ minyak masak paket dapat dibeli akhirnya.
“Jadi, inilah antara hasil usaha pemikiran di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang wajib dihebahkan oleh Komuniti MADANI kepada rakyat,” Fahmi berkata demikian ketika berucap pada program Jiwa MADANI di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.








