SHAH ALAM — Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengecam tindakan seorang pengerusi majlis yang menggelarkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebagai “Tok Undang Kelima” ketika Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) di Seremban, malam tadi.
Menurut Sinar Harian, Ahmad Fadhli, yang juga ahli parlimen Pasir Mas, menyifatkan gurauan tersebut sebagai penghinaan terhadap institusi diraja dan adat yang menurutnya perlu dihormati oleh semua pihak.
“Siapa yang panggil Anthony Loke sebagai Tok Undang tu? Jangan nak berseloroh dengan institusi raja, ini benar-benar merupakan satu penghinaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas ucapan seorang pengerusi majlis yang memperkenalkan Anthony Loke dengan gelaran berkenaan ketika program tersebut.
Dalam ucapannya, individu terbabit berkata: “Dekat Negeri Sembilan orang panggil YB Anthony tok undang tahu,” sambil ketawa sebelum menambah, “Undang yang kelima. Saya persilakan YB Anthony.”
Majlis Pelancaran Jentera PH itu diadakan di Seremban pada malam Sabtu.








