KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan hala tuju Parti BERSAMA selepas hampir dua minggu penubuhannya, termasuk menjawab pelbagai persoalan berkaitan parti itu dan dakwaan yang timbul sejak kebelakangan ini.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Rafizi berkata BERSAMA kini telah melepasi 20,000 keahlian seperti yang dijangka dan jumlah itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Menurutnya, BERSAMA diasaskan dengan matlamat untuk merintis Malaysia yang lebih berdaya maju untuk rakyat biasa serta melawan “kelas-kelas berkepentingan” yang didakwa terus menguasai sistem sedia ada.
“Selama ini, parti politik bertukar ganti tetapi tak ramai yang berani melawan kelas-kelas berkepentingan. Akhirnya, sistem tetap sama.
“Kalau dulu, rakyat biasa kerja penat untuk hidup lebih baik kerana peluang Insya-Allah ada. Sekarang, rakyat biasa kerja penat hanya untuk dapat peluang, itu pun tak tentu berjaya,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa BERSAMA akan menerima nasib sama seperti parti-parti kecil lain, Rafizi berkata parti itu tidak meletakkan kuasa politik jangka pendek sebagai sasaran utama.
“Menang kalah itu ketentuan Allah. BERSAMA tidak meletakkan kuasa dalam masa terdekat sebagai sasaran.
“Saya dan Nik buat keputusan lepaskan segala-galanya supaya ada satu platform politik yang sesuai untuk golongan rakyat biasa yang berfokus kepada masa depan,” katanya lagi.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa beliau membayar RM8.5 juta untuk mengambil alih parti itu, sambil menyifatkannya sebagai fitnah yang disebarkan “cyber trooper kerajaan” dan turut dijaja Menteri Komunikasi.
“Saya bayar RM8.5 juta untuk beli BERSAMA itu fitnah yang disebarkan oleh cyber trooper kerajaan, turut dijaja oleh Menteri Komunikasi. Jangan bimbang, kita serahkan kepada Allah. Ada lah balasan kepada mereka satu hari nanti








