KUALA LUMPUR — Filem aksi tempatan Tarung: Unforgiven terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan RM20.3 juta sepanjang tayangannya di pawagam seluruh negara.
Menurut Astro Awani, sejak mula ditayangkan pada 7 Mei lalu, filem berkenaan dilihat konsisten menarik kehadiran penonton sekali gus meletakkannya antara karya tempatan paling berjaya dan hangat diperkatakan ketika ini.
Pengarah, penulis skrip dan penerbit eksekutif filem itu, Razaisyam Rashid berkata, kejayaan diraih bukan sekadar diukur menerusi angka kutipan, sebaliknya pengalaman berinteraksi secara langsung dengan penonton menjadi detik paling bermakna sepanjang perjalanan filem tersebut.
Menurut beliau, siri jelajah yang dianjurkan memberi peluang kepada beliau dan barisan pelakon mendengar sendiri reaksi serta maklum balas penonton selepas menyaksikan filem berkenaan.
“Saya berharap kejayaan ini dapat membuka lebih banyak ruang untuk filem aksi tempatan terus berkembang,” katanya.
Momentum filem itu turut diperkukuhkan menerusi pendekatan barisan pelakon seperti Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Azira Shafinaz, Amir Ahnaf dan Bront Palarae yang aktif turun padang menerusi siri jelajah bagi mendekati peminat.
Hujung minggu lalu, siri jelajah di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menyaksikan sambutan luar biasa apabila ribuan peminat membanjiri setiap lokasi sekali gus mencetuskan suasana meriah dan penuh keterujaan.








