KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap mana-mana individu yang didakwa menghina serta mempersendakan institusi Sultan dan Raja-Raja Melayu.
Menurut Malaysia Gazette,Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Al Habshee berkata, tindakan pantas perlu dilakukan tanpa menunggu laporan polis dibuat bagi mengekang penularan berita palsu atau kandungan melampau menerusi media sosial seperti TikTok.
Menurutnya, kelewatan bertindak dikhuatiri menyebabkan penghinaan terhadap institusi kesultanan Melayu dianggap perkara biasa dalam masyarakat.
“Jika pihak berkuasa lambat bertindak dan sekadar ‘melihat dan menunggu’ laporan polis dibuat, saya khuatir perbuatan jahat dan pencercaan terhadap institusi kesultanan Melayu akhirnya dianggap satu kebiasaan.
“Akhirnya generasi alaf baru yang hidup di zaman kecanggihan teknologi maklumat hilang rasa hormat dan kesetiaan kepada raja dan kesultanan Melayu sepertimana termaktub dalam piagam Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan beberapa kontroversi membabitkan penghinaan terhadap institusi raja yang dikaitkan dengan ahli politik sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu, Syed Ali berharap tindakan segera dapat diambil terhadap individu terbabit tanpa mengira fahaman politik.
“Saya juga bimbang jika pihak berkuasa lambat bertindak dan hanya menunggu laporan dibuat, akan timbul dakwaan kononnya pihak berkuasa di negara ini membudayakan ‘undang-undang terpilih’ dan tindakan lebih menjurus kepada kepentingan politik,” katanya.








