KUALA LUMPUR – Bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew berkata beliau hadir ke Dataran Selangor hari ini bagi membaca semula dan menghayati Rukun Negara susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menerusi satu kenyataan, pemimpin veteran DAP itu berkata beliau berasa “amat tersentuh” ketika membaca semula prinsip-prinsip Rukun Negara dan memahami sejarah di sebalik pembentukannya.
Menurut Ronnie Liu, Rukun Negara bukan sekadar rangkap hafalan, sebaliknya lahir daripada pengalaman pahit negara selepas tragedi 13 Mei 1969 bagi mengelakkan konflik kaum, perpecahan masyarakat dan politik ekstrem daripada berulang.
“Kelahiran Rukun Negara sendiri tercetus selepas May 13 Incident, apabila negara berusaha mengelakkan konflik kaum, perpecahan masyarakat dan politik ekstrem daripada berulang kembali dengan membentuk satu semangat kebangsaan bersama,” katanya.
Beliau berkata, nilai sebenar Rukun Negara bukan hanya terletak pada lima prinsipnya, tetapi pada semangat untuk memastikan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya dapat hidup bersama secara aman dan saling menghormati.
Ronnie Liu turut menyifatkan prinsip “Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan” sebagai asas penting dalam menjamin kestabilan jangka panjang negara majmuk seperti Malaysia.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengingatkan bahawa politik negara ketika ini semakin dipenuhi emosi dan polarisasi ekstrem, sekali gus menjadikan semangat Rukun Negara semakin relevan.
Beliau menyeru semua ahli politik, sama ada daripada kerajaan atau pembangkang, supaya kembali membaca dan menghayati Rukun Negara serta menilai sama ada strategi, ucapan dan tindakan politik masing-masing benar-benar selari dengan semangat Perlembagaan, menghormati kedaulatan undang-undang dan membantu memperkukuhkan perpaduan negara.
“Kerana apa yang benar-benar mampu menstabilkan sesebuah negara ialah ketamadunan, institusi, kedaulatan undang-undang, saling menghormati dan perpaduan masyarakat,” katanya lagi.
Ronnie Liu turut merakamkan penghargaan kepada para pengasas negara yang membentuk Rukun Negara dan menyifatkannya sebagai panduan penting untuk memastikan Malaysia terus stabil dan maju.








