MANJUNG — Malaysia secara rasmi menghantar notis tuntutan melebihi RM1 bilion kepada syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Gruppen susulan kegagalan membekalkan sistem peluru berpandu untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurut Malaysia Gazette, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, notis tuntutan itu dihantar semalam selepas Norway mengambil keputusan secara unilateral menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan berkenaan.
Menurut beliau, Malaysia menuntut kos langsung dan tidak langsung susulan pembatalan lesen eksport tersebut.
Katanya, kerajaan sebelum ini telah membuat bayaran sebanyak €126 juta (RM583 juta), bersamaan 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak membabitkan sistem peluru berpandu surface-to-surface untuk TLDM.
“Semalam kami telah menghantar notis kepada syarikat Norway itu. Kami menuntut kos langsung dan tidak langsung.
“Kos langsung berjumlah €126 juta (kira-kira RM583 juta), iaitu jumlah yang telah kami bayar kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Lumut Naval Shipyard di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.








