SHAH ALAM — Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa United Malays National Organisation (UMNO) pernah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada 2018.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan, Amidi Abdul Manan, berkata kebenaran kepada lulusan UEC untuk melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) dibuat ketika pentadbiran kerajaan pada waktu itu.
Menurutnya, Pas memainkan naratif bahawa Kerajaan Madani tunduk kepada kehendak DAP bagi menutup serangan terhadap Setiausaha Majlis Syura Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi.
“Namun satu fakta yang perlu disedari ialah kebenaran untuk lulusan UEC melanjutkan pengajian ke IPTA dibuat pada tahun 2018 oleh parti Melayu terbesar iaitu UMNO,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Amidi turut mendakwa Barisan Nasional (BN) yang diterajui Najib Razak ketika itu terdesak mendapatkan sokongan pengundi Cina dengan mengembalikan Malaysian Chinese Association (MCA) sebagai parti pilihan masyarakat berkenaan.
Beliau berkata, UMNO juga bersetuju melanjutkan pajakan selama 99 tahun kepada sebuah Sekolah Menengah Persendirian (SMP) Chung Hwa di Kuala Lumpur.
“Namun apakan daya, walau sebegitu hebat tawaran yang diletakkan dalam manifesto BN ketika itu, UMNO/BN akhirnya terpaksa meninggalkan Putrajaya,” katanya.








