WASHINGTON — Ahli kewangan Malaysia dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dilaporkan memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut Sinar Harian laman web Jabatan Kehakiman (DoJ), permohonan atas nama Taek Jho Low itu adalah untuk ‘pengampunan selepas selesai menjalani hukuman’.
Status permohonan tersebut bagaimanapun masih belum diputuskan (pending) tanpa sebarang butiran lanjut didedahkan.
Jho Low yang didakwa menjadi dalang dalam salah satu skandal penipuan kewangan terbesar membabitkan 1Malaysia Development Berhad, berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira AS$4.5 bilion (RM17.7 bilion) daripada dana syarikat pelaburan negara itu pada 2018.
Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat turut mendakwa Jho Low bersama dua bekas jurubank Goldman Sachs Group membayar kira-kira AS$2 bilion (RM7.8 bilion) dalam bentuk rasuah kepada pegawai asing.
Selain itu, kira-kira AS$1 bilion (RM3.9 bilion) dipercayai diagihkan kepada peserta skim berkenaan, manakala Jho Low sendiri didakwa memperoleh sekurang-kurangnya AS$1.42 bilion (RM5.58 bilion).







