KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya mengekalkan skim subsidi bahan api Budi Madani RON95 (Budi95) kepada semua rakyat Malaysia termasuk golongan T20 bagi mengurangkan beban ekonomi semasa.
Menurut Malaysia Kini, kerajaan sepatutnya menyasarkan industri perbankan dengan mencadangkan institusi kewangan menyumbang secara lebih langsung menerusi penyediaan dana sokongan berjumlah RM5 bilion kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Mengapa golongan T20 menjadi sasaran tetapi bukan industri perbankan sedangkan bank menikmati kadar pulangan yang jauh lebih tinggi berbanding kadar purata deposit tetap 12 bulan sebanyak 2 hingga 2.3 peratus yang ditawarkan kepada pendeposit?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, Bank Negara Malaysia turut membantu industri perbankan dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 2.75 peratus sehingga menyebabkan harga saham perbankan di Bursa Malaysia meningkat.






