SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menyelar kerajaan Selangor dalam isu penternakan babi dan menyifatkan pentadbiran negeri itu sebagai “kerajaan daun keladi” kerana didakwa tidak mendengar nasihat.
Menurut Malaysia Kini, kenyataan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Selangor susulan pendirian pihak istana yang berulang kali menolak aktiviti penternakan babi di negeri berkenaan, termasuk menerusi kenyataan terbaru supaya isu itu dinoktahkan.
“Persoalannya, mengapa pihak Istana terpaksa mengeluarkan kenyataan berulang-ulang kali? Jawapannya sudah ditegaskan dalam sidang Dewan Negeri Selangor iaitu kerajaan negeri Selangor hari ini adalah kerajaan daun keladi,” kata mereka.
Mereka turut menegaskan seluruh kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Islam Se-Malaysia di Selangor akan terus memelihara kewibawaan titah DYMM Sultan Selangor.
“Kami juga berikrar untuk senantiasa melindungi dan mempertahankan kemuliaan institusi raja-raja Melayu sebagai teras raja berperlembagaan,” menurut kenyataan itu lagi.







