KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu, termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Menurut Malaysia Gazette, dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang. Seorang lagi suspek berusia lingkungan 50-an pula ditahan pada jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek, dengan dua daripadanya merupakan pengarah syarikat, dipercayai bersubahat dalam kegiatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.
“Timbalan pengerusi NGO berkenaan disyaki telah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikat miliknya bagi tujuan pelaburan dan kegunaan peribadi,” kata sumber.
Menurut sumber, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan.
SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes; rumah juga hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.







