Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Musyawarah Nasional akan memfokuskan kepada lima teras utama merangkumi agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.
Menurut beliau dalam satu hantaran, teras agama akan dipengerusikan oleh Datuk Prof Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, dengan tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta memperkasa kefahaman dan pengamalan Islam yang sederhana dan progresif dalam masyarakat.
Bagi teras politik pula, ia akan dipengerusikan oleh Prof Dr Zainal Abidin Sanusi yang akan menilai dinamika politik semasa serta merumus pendekatan baharu bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan kepimpinan dan kematangan demokrasi negara.
Teras ekonomi akan dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail, dengan fokus membincangkan strategi memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu agar lebih berdaya saing, inklusif dan mampan dalam ekonomi negara.
Sementara itu, teras pendidikan akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Ya’akub, yang akan meneliti agenda pemerkasaan pendidikan sebagai asas pembinaan modal insan berkualiti serta peningkatan keupayaan generasi masa depan.
Bagi teras sosial, ia akan dipengerusikan oleh Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran dengan memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan sosial, perpaduan masyarakat, pembinaan nilai dan budaya serta pengukuhan institusi keluarga dan komuniti.
Zahid yang juga Presiden Umno berkata kesemua teras ini menjadi fokus utama dalam Musyawarah Nasional yang digerakkan bagi memperkukuh pelbagai aspek pembangunan negara.








