Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ikan dengan memainkan sentimen kenaikan kos diesel susulan krisis tenaga global.
Menurut Malaysia Kini, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata tindakan itu tidak wajar memandangkan kerajaan mengekalkan subsidi diesel dan petrol kepada sebahagian besar nelayan di Zon A, B dan C.
Beliau berkata keadaan itu tidak menjejaskan aktiviti nelayan untuk terus turun ke laut, terutama ketika musim tangkapan ikan yang banyak ketika ini, sekali gus menolak dakwaan bahawa hasil tangkapan semakin merosot.
“Kenaikan harga diesel ini memberi kesan kepada nelayan di Zon C2. Kita mempunyai empat zon iaitu Zon A (nelayan pantai), B, C dan C2 (laut dalam). Penyasaran subsidi adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan atau kurang berkemampuan.
“Kita percaya bahawa golongan yang patut dibantu adalah Zon A, B dan C. Zon C2 ini golongan nelayan yang memang berkemampuan. Namun dengan kenaikan diesel yang melonjak, kita sedang meneliti keadaan terbaik untuk menyelaraskan subsidi diesel kepada Zon C2,” katanya.








