Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menggesa kerajaan mendedahkan laporan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dengan segera, dengan alasan rakyat berhak mengetahui hasil siasatan tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau merujuk laporan Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengarahkan pegawai kerajaan supaya tidak mendedahkan laporan itu dalam masa terdekat.
Menurut Tuan Ibrahim, jika laporan itu benar, ia bercanggah dengan komitmen ketelusan yang dinyatakan Anwar di Parlimen pada 3 Mac lalu, bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan mematuhi proses wajar.
Beliau berkata laporan siasatan oleh jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara itu telah selesai, dibentangkan kepada Kabinet dan dirujuk kepada Ketua Setiausaha Negara, namun masih belum didedahkan kepada umum.
“Jika dapatan siasatan itu membuktikan Azam Baki tidak bersalah, mengapa perlu disembunyikan? Dan jika dapatan itu membuktikan beliau bersalah, mengapa beliau masih berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya badan pencegah rasuah negara?” katanya.
Tuan Ibrahim turut membangkitkan pendirian Anwar pada 2022 ketika menjadi ketua pembangkang yang ketika itu mendesak Azam digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Menurutnya, tindakan semasa yang bukan sahaja tidak menggantung Azam malah memperbaharui kontraknya sebanyak tiga kali, selain tidak mendedahkan hasil siasatan, menunjukkan percanggahan terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
Beliau juga merujuk laporan Bloomberg sebelum ini yang mendakwa wujud isu pegangan saham melebihi had dibenarkan serta dakwaan penglibatan pegawai kanan SPRM dalam rangkaian yang digelar “mafia korporat”.
Katanya, kegagalan mendedahkan laporan siasatan akan menjejaskan keyakinan pelabur, imej negara serta usaha memerangi rasuah.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mengemukakan beberapa tuntutan, antaranya laporan siasatan didedahkan sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari.
Selain itu, beliau menuntut agar Azam digantung tugas sekiranya didapati melanggar peraturan, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan “mafia korporat”, serta peranan lebih besar Parlimen dalam memantau SPRM.
“Rakyat tidak meminta lebih daripada apa yang dijanjikan. Kami hanya meminta Perdana Menteri menunaikan kata-katanya sendiri: siasatan yang telus, keputusan yang adil, dan pemimpin yang berani,” katanya.








