KUANTAN — Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang sebelum ini didakwa memijak al-Quran telah dikenakan tindakan buang universiti selepas didapati melanggar peraturan tatatertib.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias berkata keputusan itu dibuat selepas prosiding tatatertib dijalankan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Tatatertib Pelajar) 2024.
Menurut berita harian, pelajar terbabit didapati bersalah atas kesalahan yang dilakukan dan hukuman buang universiti merupakan antara tindakan yang diperuntukkan di bawah kaedah berkenaan.
Kes tersebut sebelum ini mencetuskan perhatian apabila pelajar itu didakwa mencemarkan al-Quran dan memuat naik kandungan jelik melampau di media sosial.
Terdahulu, pelajar berusia 21 tahun itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan terhadap pertuduhan mencemarkan al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik.
UMPSA menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelajar yang didapati melanggar peraturan.








