Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) hari ini menyifatkan cadangan agar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, meletak jawatan adalah tidak perlu.
Presiden MIPP, P Punithan, dalam satu kenyataan berkata pelantikan Ahmad Samsuri bukan satu bebanan tetapi sebaliknya satu kelebihan kepada gabungan itu dan pentadbiran negeri Terengganu.
“Bagi kami di MIPP, peranan dwifungsinya bukan satu bebanan. Ia adalah satu kelebihan. Ahmad Samsuri mempunyai rekod prestasi yang terbukti dari segi kredibiliti, disiplin, dan kompetensi,” kata Punithan.
Cadangan berkenaan timbul berikutan pelantikan rasmi Ahmad Samsuri sebagai pengerusi PN baru pada 22 Februari lalu, yang dilihat oleh sesetengah pemerhati politik sebagai fasa baharu dalam usaha memperkukuh muafakat politik gabungan itu.
Punithan juga menegaskan bahawa kejayaan Ahmad Samsuri dalam mengemudi jentera pilihan raya sebelum ini — termasuk kejayaan PN menyapu bersih semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada pilihan raya negeri lepas — menunjukkan beliau tetap relevan sebagai Menteri Besar dan pemimpin yang inklusif.
Beliau berkata imej kepimpinan Ahmad Samsuri melangkaui stereotaip imej Islamik biasa kerana sifat profesionalisme dan pendekatan inklusifnya, yang diterima baik oleh pelbagai golongan masyarakat.
Punithan turut memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan peribadi dengan Ahmad Samsuri bagi membincangkan isu-isu berkaitan komuniti India dan komitmen MIPP untuk terus bekerjasama dalam memperkukuh sokongan masyarakat itu terhadap kepimpinan PN. -Malaysia Kini








