Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan sedang dalam proses menyusun semula bahagian-bahagian dan sayap parti yang terlibat dengan peletakan jawatan ketua serta ahli jawatankuasa.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, berkata sebuah Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi melaksanakan proses penyusunan semula berkenaan.
Menurutnya, pasukan itu dipengerusikan bersama oleh dua Naib Presiden parti, iaitu Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu.
Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, pula akan bertindak sebagai sekretariat kepada pasukan berkenaan.
Kenal pasti bahagian terlibat
Muhyiddin berkata ketua-ketua Badan Pimpinan Negeri telah diarahkan untuk mengenal pasti bahagian yang terlibat dengan peletakan jawatan.
Katanya, penyusunan semula itu akan melibatkan pemangkuan jawatan ketua bahagian atau pembentukan jawatankuasa bahagian yang baharu mengikut perlembagaan parti.
“Sayap-sayap parti yang terlibat dengan peletakan jawatan juga akan disusun semula melalui pemangkuan atau pembentukan jawatankuasa yang baharu,” katanya.
Beliau menambah Bersatu mempunyai barisan pelapis dan ahli aktif di setiap bahagian yang bersedia memikul tanggungjawab untuk memperkukuhkan parti.
Tegas komitmen kepada PN
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin menegaskan Bersatu kekal komited kepada perjuangan Perikatan Nasional.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 22 Februari 2026 yang dijangka memutuskan pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional serta perkara-perkara lain berkaitan pengukuhan dan pemerkasaan gabungan berkenaan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bertarikh 21 Februari 2026 dan ditandatangani oleh Muhyiddin selaku Presiden Bersatu.








