IPOH, 17 Feb — Seramai 26 mangsa banjir daripada 10 keluarga ditempatkan sementara di Masjid Al-Ghufron, Manjoi selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat malam tadi.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta berkata, kejadian banjir kilat itu melibatkan sembilan keluarga di Kampung Manjoi dengan 22 mangsa serta satu keluarga di Kampung Tengku Hussein dengan empat mangsa.
“Setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka kerana jumlah mangsa adalah kecil dan keadaan banjir masih terkawal,” jelas jurucakap itu. Kesemua mangsa ditempatkan di masjid sebagai langkah berjaga-jaga menunggu air surut sepenuhnya.
APM Daerah Kinta turut memaklumkan operasi pemantauan sedang dijalankan dan pihaknya bersedia mengambil tindakan lanjut sekiranya paras air terus meningkat atau situasi memerlukan pembukaan PPS.
Kejadian hujan lebat selama hampir dua jam semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar Ipoh, termasuk Tawas, Kepayang dan Manjoi, dinaiki air secara mendadak.
Orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga dan mengikuti perkembangan cuaca serta keadaan setempat melalui saluran rasmi.-Astro Awani








