Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengeluarkan notis rasmi pemecatan keahlian terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin berkuat kuasa serta-merta, menurut surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu.
Dalam notis bertarikh 13 Februari 2026, Lembaga Disiplin Bersatu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat bersidang pada 12 Februari lalu, yang mendapati Hamzah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Keputusan itu menyaksikan semua hak keahlian beliau digugurkan di bawah Fasal 22.5 perlembagaan Bersatu.
Bagaimanapun, surat berkenaan turut menyatakan Hamzah masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Notis tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, dan menyebut bahawa pemecatan itu berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang penangguhan.
Sehingga berita ini ditulis, belum ada kenyataan balas rasmi daripada Hamzah berhubung keputusan berkenaan.








