Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla hari ini mencabar pihak berkuasa supaya menahannya terlebih dahulu sekiranya mereka masih berpendirian bahawa himpunan dan ceramah yang dirancang adalah satu kesalahan.
Dalam sidang media, Haniff berkata hak berhimpun secara aman dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disekat sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa.
Beliau merujuk kepada satu keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menurutnya menetapkan tiga prinsip utama, iaitu hak mengadakan perhimpunan aman adalah hak perlembagaan, hak peniaga untuk menjalankan perniagaan tidak boleh mengatasi hak berhimpun, dan tanggungjawab polis adalah mengatur perjalanan perhimpunan, bukannya menghalang.
“Pada hari ini cuma satu himpunan. Tidak ada dua atau tiga. Justeru kami berpendapat kenyataan pihak polis pagi ini melanggar perlembagaan dan tidak mematuhi undang-undang,” katanya.
Haniff yang bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada penganjur himpunan itu turut menyifatkan amaran pihak berkuasa agar orang ramai “berjaga-jaga” sebagai satu bentuk ugutan yang tidak wajar.
Beliau bagaimanapun memuji kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang menurutnya lebih selari dengan kerangka undang-undang apabila memberi amaran tindakan hanya akan diambil sekiranya keselamatan negara benar-benar tergugat.
Menurut Haniff, kenyataan perdana menteri itu tidak pernah menyebut bahawa perhimpunan tersebut dibatalkan atau dihalang, sebaliknya sekadar nasihat dan peringatan agar peserta tidak melampaui batas.
“Kalau tidak ada himpunan, bagaimana ada peserta?” soalnya sambil menggesa pihak polis tidak menyeleweng tafsiran kenyataan pemimpin tertinggi negara itu.
Dalam masa sama, beliau menyeru peserta supaya mematuhi undang-undang, tidak mencetuskan provokasi dan tidak membuat kenyataan yang melanggar peraturan, namun menegaskan tuntutan terhadap kedaulatan undang-undang adalah hak sah setiap rakyat Malaysia.








