PAS mengesahkan parti itu telah mengemukakan nama calon untuk jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), namun calon tersebut bukan Presiden PAS, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata pencalonan itu dibuat selaras dengan keputusan dalaman PAS, tetapi enggan mendedahkan identiti individu berkenaan.
“Kami telah cadangkan seorang calon, namun bukan presiden PAS,” katanya kepada media.
Jawatan pengerusi PN kosong selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Menurut Takiyuddin, perlembagaan PN tidak menetapkan bahawa pengerusi mesti terdiri daripada presiden parti komponen, sekali gus membuka ruang kepada tokoh lain untuk mengetuai gabungan itu.
Isu pelantikan pengerusi baharu PN dijangka diputuskan dalam mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN, yang dijadualkan dalam masa terdekat.
Perkembangan itu berlaku ketika wujud perbincangan dalaman PAS agar parti tersebut memainkan peranan lebih dominan dalam kepimpinan PN, susulan perubahan landskap politik gabungan berkenaan.








