KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di sini, berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Sinar Harian, Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa selepas membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang selaras dengan pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat ketetapan berkenaan selepas mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyemak semula perintah pelepasan terdahulu terhadap bekas Presiden UMNO berusia 73 tahun itu.
“Perintah pelepasan yang dikeluarkan Jumaat lalu dibatalkan dan digantikan dengan yang baharu hari ini.
“Tertuduh perlu menjalani baki penjara yang dikurangkan secara tahanan di rumah, di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028,” katanya.
Permohonan semakan itu difailkan AGC bagi memastikan perintah mahkamah berkenaan tidak bercanggah dengan syarat pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 18 September lalu.
Terdahulu, Najib melunaskan denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi pada 6 November sebagai memenuhi syarat pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan sementara selepas AGC membangkitkan persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah pelepasan yang dikeluarkan mahkamah.
Susulan keputusan terbaharu itu, perintah pelepasan baharu menggantikan dokumen terdahulu bagi membolehkan baki hukuman Najib dilaksanakan secara tahanan rumah mengikut tempoh yang ditetapkan.
Najib sebelum ini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.








