KUALA LUMPUR – UMNO mengumumkan kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu turut menyelesaikan semua proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Jumaat.
Susulan itu, beliau berkata, UMNO secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan bagi menerima sumbangan orang ramai.
“Tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam (crowdfunding) bagi tujuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli UMNO dan orang ramai yang tidak putus-putus menyalurkan sumbangan sejak tabung berkenaan dilancarkan.
Beliau turut menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kejayaan kutipan dana yang mencapai sasaran ditetapkan.







