PUTRAJAYA – Masyarakat Islam di negara ini tidak seharusnya menganggap semua rumah sembelihan yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tidak mematuhi hukum syarak dalam operasi penyembelihan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, orang ramai perlu membezakan antara dakwaan yang tular dengan hasil siasatan yang telah disahkan pihak berkuasa.
Menurut Utusan, sebarang ketidakpatuhan yang dikesan di sesebuah premis tidak wajar dijadikan asas untuk membuat kesimpulan terhadap semua rumah sembelihan atau keseluruhan Sistem Pensijilan Halal Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pengguna supaya mengutamakan bekalan daripada sumber yang memiliki pensijilan halal serta menyemak status pengesahan berkenaan menerusi Portal Halal Malaysia.
“Perbezaan utama antara rumah sembelihan yang mempunyai SPHM dengan yang tidak dipersijilkan ialah premis pemegang SPHM telah melalui proses penilaian dan pengesahan pematuhan berdasarkan Sistem Pensijilan Halal Malaysia.
“Ketiadaan SPHM tidak dengan sendirinya membuktikan sesuatu sembelihan tidak halal, namun premis berkenaan belum memperoleh pengesahan pematuhan menerusi sistem pensijilan tersebut.
“Pemilikan lesen operasi pula tidak boleh disamakan dengan pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Zulkifli bersama pasukan Pemantauan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyertai operasi pemeriksaan di sebuah rumah sembelihan pemegang SPHM di Petaling Jaya, Selangor.
Operasi itu bertujuan meninjau pelaksanaan kawalan halal dalam proses penyembelihan serta pengendalian ayam di premis berkenaan.
Menurutnya, kelebihan rumah sembelihan yang memiliki SPHM adalah pematuhan terhadap standard halal dinilai menerusi proses pengauditan dan pemantauan berterusan sepanjang tempoh pensijilan.
“Ia sekali gus memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa proses penyembelihan dan pengendalian ayam tertakluk kepada keperluan Pensijilan Halal Malaysia,” katanya.








