KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan terhadap pegawai kerajaan, termasuk pertukaran jawatan, perlu dilaksanakan mengikut proses dan peraturan undang-undang yang ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dibuat berdasarkan siasatan dan tidak seharusnya dianggap sebagai satu kontroversi.
Menurut laman portal Buletin TV3, rekod perkhidmatan serta sumbangan seseorang pegawai tidak mengecualikan mereka daripada tindakan undang-undang sekiranya terdapat dakwaan salah laku yang perlu disiasat.
“Apakah dia (Mohd Shuhaily) tiada jasa? Dia ada jasa. Tapi kerja mesti profesional. Kalau ada dakwaan orang ramai atau polis, itu soal siasatan. Kalau didakwa, ikut proses peraturan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini, berhubung pertukaran Mohd Shuhaily ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tambahnya, setiap laporan polis perlu disiasat mengikut prosedur ditetapkan, manakala keputusan untuk mendakwa seseorang individu terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
Anwar turut menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri atau Kementerian Dalam Negeri (KDN), boleh campur tangan dalam proses siasatan yang sedang dijalankan.
Menurutnya, setiap dakwaan salah laku membabitkan penjawat awam perlu ditangani berlandaskan proses undang-undang tanpa mengira kedudukan mahupun sumbangan individu terbabit.








