SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dijangka meneruskan tugas seperti biasa selepas mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis.
Wakil pasukan pembelaannya berkata, kedudukan Mohd Shuhaily sebagai penjawat awam tertakluk kepada sebarang keputusan lanjut pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Saya rasa sebagai penjawat awam, beliau tetap akan bertugas sehinggalah diberitahu sebaliknya.
“Sama ada KDN, JPA dan sebagainya, itu adalah proses penjawat awam biasa,” katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.
Menurutnya, proses jaminan terhadap Mohd Shuhaily telah selesai selepas mahkamah membenarkan jaminan RM1,500 bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan RM3,000 dengan seorang penjamin.
Beliau berkata, pasukan pembelaan yang dianggotai beberapa peguam hadir bagi memastikan Mohd Shuhaily mendapat pembelaan sewajarnya sepanjang proses perundangan.
Katanya, pihak pembelaan tidak berhasrat mengulas lanjut mengenai fakta kes memandangkan prosiding mahkamah sedang berjalan dan prinsip seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya perlu dihormati.
“Ini bukan untuk melawan sesiapa, cuma untuk memberikan semangat kepada beliau pada hari ini.
“Kita tidak boleh bercakap banyak tentang kes kerana ia masih dalam proses mahkamah. Prinsipnya, seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihak pembelaan akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menentukan tindakan seterusnya menjelang sebutan kes pada 25 November depan.
Terdahulu, Mohd Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. (Bernama)








