PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penjawat awam supaya tidak melengah-lengahkan pelaksanaan dasar dan keputusan kerajaan, sebaliknya memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan dengan cekap, pantas serta berintegriti.
Menurut Berita Harian, Beliau menegaskan, kejayaan Belanjawan 2027 bukan hanya bergantung kepada perancangan dan penyediaan peruntukan yang teliti, tetapi turut ditentukan oleh kecekapan jentera pentadbiran dalam memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.
Menurut Anwar, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi meringankan beban rakyat, termasuk penurunan harga minyak, peningkatan bantuan serta pelarasan gaji.
Sehubungan itu, beliau berkata, tiada alasan untuk penjawat awam terus mengamalkan budaya kerja yang lembap sehingga menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Kalau upah dah naik, minyak dah turun dan ekonomi keadaannya menjadi begini, kita tak bersyukur, kerja masih lembap, masih lambat, surat yang boleh dijawab satu hari dah ambil masa dua minggu, itu memang cari penyakitlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Anwar turut mengingatkan kepimpinan tertinggi kementerian dan jabatan kerajaan supaya memainkan peranan memastikan setiap arahan serta keputusan dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
“Sebab itu tanggungjawab kita dari KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) kepada Ketua Jabatan kepada Pengarah dan Ketua Pengarah harus ingat ini.
“Setiap kerja (harus) dilakukan dengan amanah,” tegasnya.








