SHAH ALAM: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang tidak lagi mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan wajar meletakkan jawatan, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Menurut Sinar Harian, langkah itu wajar dilakukan atas prinsip dan maruah memandangkan barisan Exco berkenaan baru sahaja mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada awal Ogos lalu.
“DAP tetap berpegang teguh pada prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dalam negara kita.
“Keluhuran undang-undang serta kemuliaan institusi diraja mesti dipertahankan dan tidak boleh dipermainkan demi sebarang kepentingan politik atau peribadi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Loke turut berpandangan barisan Exco sepatutnya meneliti dan memahami terlebih dahulu peruntukan undang-undang serta bidang kuasa masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyentuh kedudukan Raja Pemerintah Negeri.
Menurutnya, kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh ditamatkan sewenang-wenangnya tanpa melalui proses yang sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Beliau turut menegaskan bahawa pada pandangannya, keputusan Exco tidak boleh dengan sendirinya mengatasi UUTKNS atau ketetapan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
DKU pada Khamis menegaskan pendiriannya bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan kesahan proklamasi yang dipertikaikan perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.
Dalam pada itu, Loke mendakwa sekiranya tindakan sama dilakukan ketika Negeri Sembilan ditadbir Pakatan Harapan (PH), DAP berkemungkinan akan menerima kecaman daripada pihak yang sering mengaitkan parti itu dengan isu 3R.
“Sekiranya tindakan seumpama ini dilakukan oleh barisan Exco ketika Negeri Sembilan ditadbir oleh Pakatan Harapan, sudah tentu mereka yang selama ini gemar memperalatkan isu 3R untuk menyalahkan DAP akan mengecamnya habis-habisan,” katanya.








