MELAKA: DAP Melaka mengesahkan mahu bertanding lapan kerusi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Menurut Malaysia Gazette, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, lapan kerusi berkenaan termasuk empat kerusi yang kini disandang parti itu iaitu Bandar Hilir, Kesidang, Kota Laksamana dan Ayer Keroh.
Beliau berkata empat lagi kerusi yang mahu ditandingi DAP ialah Duyong, Bemban, Pengkalan Batu dan Gadek.
“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada Pakatan Harapan (PH) negeri dan pusat berhubung hasrat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena ulang tahun DAP ke-60 di Cheng, di sini malam tadi.
Mengulas mengenai calon yang bakal diketengahkan, Khoo berkata terdapat muka baharu selain penyandang yang akan bertanding semula.
“Ada muka baharu dan ada yang akan bertanding semula. Nanti kita akan umumkan,” katanya.
Beliau berkata, senarai calon telah dikemukakan kepada kepimpinan DAP pusat sebelum keputusan mengenai calon akhir dibuat.








