KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk menerima suapan RM200 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Menurut Berita Harian, Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya empat daripada tujuh pertuduhan yang dihadapi Presiden BERSATU itu dilepas dan dibebaskan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak akan meneruskan empat pertuduhan berkenaan dengan mengguna pakai Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh untuk empat pertuduhan itu,” kata Noor Ruwena.
Sebaik keputusan diumumkan, Muhyiddin yang berada di kandang tertuduh kelihatan lega, manakala penyokongnya di galeri awam menyambut keputusan berkenaan dengan sorakan.
Muhyiddin, 79, sebelum ini didakwa ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden BERSATU menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM200 juta bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan Projek Jana Wibawa.








