KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang melabuhkan tirainya perlu diteruskan dengan gerak kerja di peringkat bahagian, cawangan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan komuniti masing-masing.
EXCO Wanita UMNO Malaysia, Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, semangat PAU tidak seharusnya berakhir sebaik sahaja perwakilan meninggalkan PWTC.
Menurut beliau, mesej utama yang perlu dibawa pulang ialah TEKAD 16 bukan sekadar akronim yang disebut di pentas, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Katanya, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah memperteguhkan parti dengan menyatukan saf serta menghentikan politik sesama sendiri yang hanya menghabiskan tenaga.
“PRU16 tidak akan dimenangi jika kita masih sibuk mencari siapa yang hendak dijatuhkan dalam rumah sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa sama, katanya, penguasaan medan politik perlu diperkukuhkan kerana pertarungan politik hari ini bukan hanya berlaku di bilik gerakan dan pentas ceramah, malah turut berlaku di telefon rakyat setiap masa.
“Data, PDM, isu, komunikasi, media sosial dan jentera mesti dikuasai sekarang, bukan apabila Parlimen dibubarkan,” katanya.
Beliau turut menggesa parti supaya lebih mendekati rakyat dengan mendengar masalah mereka, memahami keperluan serta hadir dengan penyelesaian yang boleh dirasai.
“Jangan hanya datang apabila mahukan undi.
“Dengar apa yang mereka susahkan, fahami apa yang mereka perlukan dan hadir dengan penyelesaian yang boleh dirasai,” katanya.
Nurulhidayah berkata, PAU 2026 telah memberikan hala tuju kepada parti, namun ukuran sebenar bukan sekadar sejauh mana perwakilan bertepuk tangan di dalam dewan, sebaliknya sejauh mana semangat itu diterjemahkan kepada kerja selepas kembali ke kawasan.
“PAU 2026 sudah melabuhkan tirainya. Sekarang, kerja sebenar bermula.
“Kita tidak mahu UMNO menang kerana lawan lemah. Kita mahu UMNO menang kerana UMNO memang layak untuk menang,” katanya.








