KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan DAP sebagai ‘penyakit negara’ dan mendakwa parti itu terus membangkitkan isu sensitif meskipun berada dalam kerajaan yang sama dengan UMNO.
Menurut Malaysia Gazette, Pembahas ucapan dasar Presiden itu berkata, keadaan berkenaan menyukarkan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi untuk memberikan penjelasan kepada orang Melayu mengenai kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Orang UMNO tidak boleh terima langsung DAP ini. Walau macam mana kita terangkan, depa tetap tak boleh terima,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, di sini, pada pagi ini.
Menurut Shaiful Hazizy, pemimpin UMNO di peringkat bawahan terpaksa memberikan penjelasan ‘pagi petang siang malam’ mengenai kerjasama politik sedia ada, namun penerimaan akar umbi terhadap DAP di Kedah masih sukar.
Katanya, beberapa kenyataan dan tindakan pemimpin DAP turut menjadi antara faktor yang menguatkan penolakan tersebut.
Beliau antaranya membangkitkan kenyataan Lim Guan Eng mengenai kemungkinan seorang daripada kaum Cina menjadi Perdana Menteri, cadangan Ngeh Koo Ham supaya wakil Cina dilantik dalam majlis fatwa serta isu mempertikaikan taraf pensijilan halal.
Shaiful Hazizy turut menyentuh isu membabitkan Tony Pua yang didakwanya mempertikaikan titah Sultan Selangor.
Beliau mendakwa laporan polis turut dibuat berhubung perkara itu, namun tiada tindakan atau siasatan dilakukan.
“DAP itu sendiri satu penyakit dan sampai bila-bila ahli UMNO tidak akan terima mereka ini,” tegasnya.








