KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan berundur atau menjadi lemah meskipun berdepan tindakan yang didakwa sebagai penganiayaan dan memalukan daripada pihak tertentu yang sebelum ini pernah dibantu untuk mencapai kedudukan tertinggi, tegas Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut AWANI, Setiausaha Agung UMNO itu berkata, apa yang berlaku ketika ini mencerminkan sikap segelintir pihak yang didakwa hanyut dengan kekuasaan sehingga sanggup menyalahgunakan sisa-sisa jawatan serta menganiaya rakan yang sebelum ini membantu mereka.
Menurutnya, perjuangan UMNO adalah sunnatullah yang penuh dengan ujian dan pejuang sejati akan terus berdiri walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Perjuangan ini adalah sunnatullah yang penuh dengan ujian kerana pejuang sejati yang sabar akan kekal berdiri walau dibadai taufan,” katanya ketika berucap pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Jumaat.
Asyraf Wajdi berkata, perkembangan mutakhir turut mengingatkan bahawa manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara boleh menjadi begitu rapuh sehingga hilang pertimbangan.
“Rakus menyalahgunakan sisa-sisa jawatan. Menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak takhta,” katanya.
Tanpa menyebut mana-mana pihak secara spesifik, beliau berkata pihak terbabit bagaimanapun tersilap percaturan sekiranya menyangka tindakan menganiaya, menakutkan dan mengaibkan pimpinan UMNO akan menyebabkan parti itu menjadi lemah.
“Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah. Mereka silap. Kita ini pejuang UMNO. Kita ini pejuang Melayu,” ujarnya.








