KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengecam tindakan Kerajaan Perlis yang didakwanya merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, sambil menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
“Saya mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi , Kangar , Perlis,” Tegas beliau.
Menerusi hantaran di Facebook, Rayer berkata Perlembagaan Persekutuan menjamin dan melindungi hak rakyat untuk menganuti agama lain selain Islam yang merupakan agama Persekutuan, dan prinsip itu perlu dihormati oleh kerajaan negeri Perlis pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, tindakan tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN untuk melindungi hak masyarakat minoriti dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.
Beliau turut mendakwa pendekatan sedemikian menunjukkan PN tidak sensitif terhadap kepelbagaian masyarakat, selain menggesa Barisan Nasional (BN) serta parti komponennya seperti UMNO, MCA dan MIC yang bekerjasama dengan PN dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan supaya menilai perkara berkenaan.
Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang berkata, sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh pihak pengurusan kuil, kerajaan negeri sepatutnya memilih pendekatan yang lebih berhemah untuk menyelesaikannya.
“Tindakan merobohkan kuil tersebut bukanlah satu penyelesaian dan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati, marah dan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Hindu,” katanya dalam kenyataan
Beliau turut mempersoalkan sama ada PAS dan PN boleh dipercayai untuk melindungi hak masyarakat minoriti, khususnya penganut Hindu dan agama lain di negara ini.








