KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung, yang mengkritik sebarang kerjasama dengan PAS sebagai bersifat hipokrasi politik.
Menurut Puad, beliau mempersoalkan dakwaan bahawa kerjasama dengan PAS merupakan tindakan menggadaikan prinsip, sambil mendakwa MCA sendiri tidak mempunyai prinsip yang konsisten dalam politik.
Beliau turut mendakwa PAS kini bukan lagi parti yang memperjuangkan hudud dan menyatakan isu agama serta dakwaan Islamofobia tidak lagi relevan dalam politik yang berteraskan persaingan untuk merebut kuasa.
Puad berkata, situasi itu dapat dilihat dalam hubungan antara parti-parti politik termasuk DAP, MCA dan PAS yang menurutnya saling menggunakan isu tertentu bergantung kepada kedudukan sebagai kawan atau lawan politik.
Mengimbau Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013, Puad berkata DAP pernah berdepan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) susulan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 2012 yang dianggap tidak sah sehingga menimbulkan kemungkinan DAP tidak dapat menggunakan lambang roket.
Menurutnya, ketika DAP dan PAS berada dalam gabungan Pakatan Rakyat, PAS telah menawarkan penggunaan lambang bulan kepada DAP bagi menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata, Setiausaha Agung PAS ketika itu, Datuk Mustafa Ali, telah menandatangani surat kuasa berhubung perkara tersebut, namun pada malam 19 April 2013, sehari sebelum hari penamaan calon, ROS membenarkan DAP menggunakan semula lambang roket.
Puad berpandangan PAS mengambil pendekatan tersebut ketika itu kerana objektif utama parti berkenaan adalah untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU13.
Katanya, keadaan yang sama berlaku pada masa ini apabila objektif utama adalah untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH), sekali gus menjelaskan mengapa parti seperti Gerakan dan MIPP kekal bersama Perikatan Nasional (PN).
Sehubungan itu, beliau berpendapat Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, tidak akan mengendahkan kebimbangan yang disuarakan oleh Setiausaha Agung Pemuda MCA kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada realiti politik untuk merebut kuasa.








