KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang meskipun Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang mempertimbangkan pemberian pengampunan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurut buletin tv3, sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan AS adalah urusan negara itu dan tidak akan menjejaskan pendirian Malaysia.
“Malaysia, pendirian Malaysia jelas, kita ikut jalur hukum.
“Itu soal keputusan negara Amerika Syarikat, urusan mereka. Namun, pendirian kita tidak terpengaruh, terganggu atau tergugat oleh keputusan AS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, Jho Low dilaporkan antara kira-kira 250 individu yang mungkin dipertimbangkan untuk menerima pengampunan daripada Presiden AS, Donald Trump, sempena sambutan ulang tahun ke-250 Hari Kemerdekaan negara itu pada 4 Julai.








