KUALA LUMPUR — Seramai 77,807 pekerja asing dibawa masuk ke Malaysia sepanjang 2025 bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.
Menurut Utusan,Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata warga Indonesia mencatat jumlah kemasukan tertinggi iaitu 35,011 orang atau 45 peratus daripada keseluruhan pekerja asing yang direkodkan.
Beliau berkata, ia diikuti warga Nepal seramai 25,026 orang (32.2 peratus) dan warga India seramai 6,245 orang (lapan peratus).
“Dari segi sektor pekerjaan, kemasukan pekerja asing sepanjang tempoh 2023, 2024 dan 2025 tertumpu kepada sektor pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan selaras dengan keperluan pasaran buruh negara.
“Bagaimanapun, jumlah kemasukan pekerja asing pada tahun lalu itu juga berbeza dengan tahun sebelumnya, menunjukkan penurunan dari segi pengambilan golongan berkenaan oleh majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung keberkesanan pelaksanaan One-Stop Center (OSC) untuk pekerja asing serta jumlah kemasukan pekerja asing bagi tempoh 2023 hingga 2025 mengikut negara asal dan sektor pekerjaan.








